Monday, March 2, 2009

SUMBANGAN KEPADA SAUDARI NORIHAN, FSSK






PPUKM, Cheras – Rombongan MPP Mahasiswa berjaya menghulurkan bantuan yang dihulurkan oleh mahasiswa/I UKM kepada Saudari Norihan Rahim pada 28 Februari lalu. Pada minggu yang lalu, MPP Mahasiswa telah menjalankan kutipan derma di beberapa fakulti dan berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM 764.20. Sumbangan itu diserahkan sendiri kepada Saudari Norrihan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbang.


Rombongan MPP Mahasiswa yang bermula pada jam 8.00 malam itu adalah terdiri daripada Saudara Idris Mohd Yusof (MPP FPI Tahun 2), Hisyamuddin Che Ali (MPP Umum Tahun 3), Mohd Fikah Bin Sanusi (MPP Umum Tahun 3), Affandi Abdul Rahman (MPP Fakulti Pendidikan) dan Wakil GMUKM, Saudara Chris Koh Wei.


Menurut Wakil MPP, beliau akan kembali ke UKM dua minggu lagi dan dilaporkan bahawa keadaannya stabil tetapi masih mengalami kesakitan terutamanya apabila lukanya dicuci oleh Doktor. Dilaporkan juga bahawa kaki beliau menjalani pembedahan kali kedua pada 27 Februari lalu untuk membuang sel-sel kaki yang sudah tidak berfungsi.


Wakil MPP Fakulti Pengajian Islam, Saudara Mohd Idris Bin Yusoff yang dihubungi menyatakan bahawa ‘‘ Kami akan terus melaksanakan kerja-kerja kebajikan yang dituntut oleh agama kita sendiri dan tuntutan moral”. Tambahnya lagi bahawa keprihatinan dan kebajikan perlu dihulurkan oleh mahasiswa UKM bagi membantu mereka yang memerlukan kerana konsep bantu-membantu adalah amat digalakkan dalam masyarakat bertamadun.


Sementara itu, Saudara Hisyamuddin Che Ali yang dihubungi turut melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan Saudari Norihan dan berjanji untuk membantunya sedaya yang mungkin. “ Kami di barisan MPP Mahasiswa memandang isu kebajikan mahasiswa sebagai keutamaan kami dan akan bertindak sebagai orang pertama dalam menjaga kebajikan mahasiswa terutamanya mereka yang ditimpa musibah ”, ujarnya. Tambahnya lagi bahawa isu Norihan akan turut dibantu dari sudut perundangan bagi memberikan pampasan sewajarnya terhadap insiden yang dialami oleh beliau. Beliau turut meminta mahasiswa UKM yang mengalami masalah kebajikan dan ditimpa musibah agar menghubungi terus 12 MPP Mahasiswa melalui nombor telefon, email mahupun melalui perjumpaan secara terus dengan wakil MPP ini.


Wartawan GMUKM turut berkesempatan menghubungi Saudara Chris Koh Wei yang turut hadir dalam ziarah tersebut. Menurut beliau bahawa kerja-kerja kebajikan merupakan satu dasar GMUKM yang akan membantu sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa. “ GMUKM akan terus komited dalam menerajui isu-isu kebajikan dan kami menggesa agar mahasiswa Melayu, Cina, India dan lain-lain bersama-sama dengan GMUKM dalam perjuangan mahasiswa”, ujarnya.

TAKZIAH DARI KAMI

Saturday, February 14, 2009

PERUTUSAN MPP TAHUN 3







Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Salam mahasiswa dan salam perubahan kepada semua warga Fakulti Pengajian Islam yang dikasihi sekalian. Selaku Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam Tahun 3 berharap dan berdoa agar sahabat-sahabat berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.


Sahabat-sahabat, bersyukur ke hadrat Illahi dengan rahmatnya dapat lagi kita bernafas dan menghirup udara yang diciptakan Allah ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana kita bertuah menjadi ummatnya. Amanah dan tanggungjawab yang saya pegang sebagi MPP FPI sessi kali ini akan saya jalankan dengan sebaik mungkin. Matlamat yang saya pegang ialah kebajikan sahabat-sahabat. Oleh itu, saya memerlukan bantuan sahabat-sahabat untuk menyalurkan aduan atau sebarang cadangan kepada saya untuk saya laksanakan dengan bantuan sahabat-sahabat.


Bagi memudahkan penyaluran aduan kebajikan sahabat-sahabat kepada kami, kami akan menyediakan peti cadangan MPP bagi memudahkan kami untuk mengetahui masalah-masalah yang di hadapi oleh sahabat. Dalam pada itu juga sahabat-sahabat juga boleh menghubungi saya dan email kepada saya.


Phone: 013-6246413

Email: fuzasjundullah@gmail.com

Blog: hararahizbullah.blogspot.com

Akhir kata, saya bukanlah yang terbaik, tetapi akan berusaha menjadi yang terbaik.Sekian , Salam mahasiswa, salam perubahan. Wassalam

MAHFUZAN GADDAFI BIN MAHMUD

AHLI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

PERSATUAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALA


PERUTUSAN MPP FPI TAHUN 1 & 2



PERUTUSAN MPP FPI

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.


TAHUN 1 DAN 2 2009Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Allah s.w.t. atas kehidupan yang dihiasi nikmat Islam dan Iman. Solawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w., ikon sepanjang zaman. Semoga kita termasuk dikalangan mereka yang mewarisi perjuangan baginda.


Pada Malam Penganugerahan watikah Perlantikan MPP PMUKM Sesi 2008/2009 yang diadakan di Dewan Senat pada 11 Februari 2009, maka, secara rasmilah amanah yang terpikul di bahu saya sebagai MPP Fakulti Pengajian Islam Tahun 1 dan 2. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada sahabat-sahabat yang memberi dorongan dan sokongan. Semoga kita sama-sama akan dapat teruskan perjuangan Islam dan mahasiswa di bumi UKM ini.


Di atas konsep yang dibawakan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah, ayat kedua :

"Maka Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan"


Saya ingin menyeru sahabat-sahabat untuk membantu saya dalam perjuangan ke arah kebajikan dan ketaqwaan. Saya memerlukan nasihat, pandangan, cadangan dan saranan daripada sahabat-sahabat sekalian untuk membantu memajukan warga FPI bagi memastikan generasi yang dilahirkan, mampu mendepani cabaran mendatang. Justeru tema dan asas yang ingin saya bawakan di sini ialah “KEIMANAN, KEILMUAN DAN KEBAJIKAN”.


Di peringkat MPP FPI, kami menyediakan peti cadangan sebagai alternatif untuk membawa suara mahasiswa FPI kepada pihak yang sepatutnya. Nasihat, cadangan dan pandangan sahabat-sahabat kepada saya juga bolehlah melalui :


No. Telefon : 013-2966549

Email : zunnun_almisri03@yahoo.com

Blog : http://tintaduat.blogspot.com


Saya bukanlah yang terbaik untuk memimpin sahabat-sahabat. Namun, saya optimis, sahabat-sahabat mampu membantu saya untuk menjadi lebih baik. Yang baik dari Allah s.w.t., yang buruk adalah kelemahan diri saya. Hakikatnya, kedua-duanya dari Allah s.w.t., dan disandarkan ke atas insan dhaif ini. Terima kasih atas sokongan, mohon maaf atas kelemahan.


“Bergerak Seiringan, Memimpin Perubahan”


Wednesday, February 11, 2009

FEBRUARI : ANTARA VALENTINE DAN AL-BANNA...










Andai ditanya kepada golongan muda pada hari ini akan peristiwa yang berlaku pada bulan Februari ini, nescaya majoritinya lebih ingat akan peristiwa Hari Valentine. Entah dari mana datangnya perayaan itu mereka tidak fikirkan. Asalkan ianya memberi "roh" baru dalam alam percintaan yang kononnya kerana memikirkan masa depan. Entah ramai atau tidak yang ingat akan peristiwa tragis yang menyayat hati pendokong-pendokong Islam. Peristiwa pembunuhan terancang As-Syahid Imam Hassan al-Banna sepatutnya menjadi renungan.


12 Februari 2009, genap 60 tahun pemergian al-Banna. Dunia barat pernah meraikan saat kematian beliau. Sehinggakan As-Syahid Sayyid Qutub yang pada ketika itu bekerja di negara Barat hairan dengan perayaan mereka di sana ketika itu. Lantas timbul dalam hatinya untuk mengenal dengan lebih mendalam siapakah insan yang bernama Hassan al-Banna ini.


Penulis tidak berminat untuk menceritakan kronologi pembunuhan terancang ini kerana pembaca mungkin lebih arif serta dapat mencari di laman-laman web yang menceritakan secara terperinci akan peristiwa ini. Sekadar mengingati peristiwa ini, apa yang diharapkan agar roh perjuangan beliau terjelma dalam anak-anak muda generasi ini. Apa yang diharapkan, kelahiran generasi baru yang akan terus memperjuangkan jihad yang diwarisi dari Rasulullah s.a.w. sentiasa berterusan. Jika seorang al-Banna yang mati, akan lahir 1000 al-Banna yang lain.


Pembunuhan al-Banna adalah satu tindakan kejam pemerintah sekular Mesir yang berselindung di sebalik nama Islam. Kejayaan al-Banna menghantar delegasi jihad ke bumi Palestin pada tahun 1948 "dihargai" oleh pemerintah Mesir pada ketika itu dengan peluru yang menembusi jasadnya. Para pejuang yang mengorbankan jiwa dan raga di Palestin pada ketika itu tidak disam but dengan bunga manggar, permaidani merah dan paluan kompang, sebaliknya disambut dengan penjara dan tali gantung.


Tindakan pemerintah Mesir pada ketika itu amat mendukacitakan kita. Pada hari ini, tradisi kekejaman mereka masih beterusan. Sekatan pemerintah Mesir ke atas Palestin pada hari ini menimbulkan kemarahan seluruh dunia Islam. Berita di akhbar semalam menunjukkan terdapat bahan makanan yang hendak disalurkan kepada saudara kita di Ghazzah sudah rosak kerana sekatan dari sempadan Mesir atas arahan regim Hosni Mubarak yang merupakan tali barut Amerika dan Yahudi. Maka jelas di sini bahawa dunia Islam hari ini masih menanti kelahiran pemimpin Islam tulen. Justeru, menegakkan pemerintahan Islam tulen juga merupakan salah satu jihad besar yang tidak boleh ditinggalkan.

Search